Thursday, November 11, 2010

BOMOH ANGAU

BATU PAHAT: Seorang bomoh menaruh perasaan terhadap sepupu isterinya, melakukan kaedah jampi pelik sebelum membogel dan merogol mangsa di atas sejadah di rumahnya di Taman Suria, Kluang, dekat sini, ketika wanita berusia 38 tahun itu mendapatkan bantuan melariskan perniagaannya, April lalu.

Bomoh berusia awal 40-an turut menggunakan ilmu sihir terhadap mangsa, dikatakan memberi pelbagai tangkal seperti minyak dagu, keris, batu cincin serta keris sebelum mendesak wanita itu menuntut cerai daripada suaminya kerana mahu bernikah dengan mangsa.


Mangsa hanya mahu dikenali Shidah, 38, berkata, dia ke rumah sepupunya berikutan perniagaannya mengalami masalah dan mahu mendapatkan bantuan bomoh bagi melariskan perniagaan.

“Saya kenal bomoh itu kerana dia dan sepupu pernah berkunjung ke rumah keluarga saya di Layang-layang dan pada hari kejadian pertama kali tergerak mendapatkan bantuannya.


“Apabila tiba di rumah bomoh, saya ditemani anak berusia 18 tahun bertemu sepupu. Kemudian diminta sepupu berseorangan mengikut suaminya ke bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat.


“Pada mulanya saya bimbang, namun sepupu memberitahu ia perkara biasa kerana suaminya tidak mahu diganggu ketika mengubat orang,” katanya.

Menurutnya, percaya dengan kata-kata sepupunya, dengan berat hati dia mengikuti lelaki berkenaan memasuki bilik pelik dengan bau yang sukar digambarkan.


Katanya, lelaki itu meminta dia minum air jampi sebelum diminta berbaring atas sejadah dan membuka semua pakaiannya.

“Selepas minum air itu, segala perasaan bimbang dan was-was hilang dan saya hanya mengikuti arahannya.


“Selepas membuka pakaian dan berbaring atas sejadah, dia menyapu seluruh badan termasuk kemaluan dengan sejenis minyak sebelum menutup badan dengan kain putih seperti dikafankan.


“Tidak lama selepas itu, saya dapati dia menyelak kain dan cuba merogol menyebabkan saya cuba melawan, namun dia mengugut ‘upacara sudah mula, kau sudah dikafankan, jika kau tidak mahu teruskan kau boleh jadi gila’ menyebabkan saya lebih takut dan keliru.


“Saya tetap meronta, namun dia terus merogol saya. Apabila selesai, dia memberi amaran jangan memberitahu orang lain atau saya mungkin mati,” katanya.


Menurutnya, sebelum pulang bomoh berkenaan memberinya minyak yang didakwa boleh melariskan perniagaan di mana dia perlu menyapu minyak itu di badan, bibir dan muka setiap hari.


Katanya, sejak menggunakan minyak itu, hatinya teringatkan bomoh berkenaan seolah-olah dipukau dan pada masa sama hubungannya dengan suami renggang.


“Beberapa minggu kemudian, bomoh itu menelefon dan menyuruh saya datang ke rumah untuk memberi tangkal dan ketika itu turut merogol saya dengan cara sama.


“Saya tidak boleh berfikir dan apabila dia melarang saya bersama suami, saya hanya mengikut arahannya. Pada masa sama, hubungan dengan suami semakin dingin hingga lelaki itu menyuruh saya meminta cerai,” katanya.


“Oktober lalu, saya keluar dari rumah kami di Kulaijaya dan tinggal bersama ibu bapa di Layang-layang bersama lima anak sebelum pergi ke Jabatan Agama Johor untuk memohon cerai dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 27 Oktober lalu,” katanya.


Bagaimanapun katanya, suami memujuk supaya mereka bertemu pada 26 Oktober lalu sebelum dia dipulihkan seorang rakan suami yang melakukan ikhtiar bagi membatalkan ilmu hitam dikenakan kepadanya.


Shidah berkata, apabila tersedar dengan kejadian sebenar yang berlaku, dia hanya menangis dan tidak boleh tidur serta makan kerana teringatkan segala perbuatannya dengan bomoh berkenaan.


Menurutnya, dia membuat laporan kejadian rogol ketika dipukau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada 27 Oktober lalu selain menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Kluang pada hari sama.


“Pada keesokan hari, bomoh yang menyangka saya sudah bercerai datang ke rumah ibu di layang-layang sebelum terkejut apabila mendapati suami turut berada di rumah.


“Apabila suami bertanyakan apa yang sudah dilakukan kepada saya, mereka bertengkar sebelum bomoh mengeluarkan pisau menyebabkan suami menumbuknya bagi mempertahankan diri.


“Ketika itu, baru dia mengaku menyalahgunakan ilmunya memecahbelahkan rumah tangga kami kerana dia berminat memperisterikan saya,” katanya.


Katanya, sejak dipukau bomoh itu, dia sering memberikan wang kepadanya.

2 comments:

  1. APA LAH NAK JADI DENGAN DUNIA SEKARANG.. NAFSU SEMATA-MATA...SUBHANALLAH...

    ReplyDelete
  2. وَحِفْظًا مِّن كُلِّ شَيْطَانٍ مَّارِدٍ

    Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka

    ReplyDelete